, , , ,

Majikan Saya Tidak Suka Islam Sehingga Ini Terjadi

Dia seboleh-bolehnya tidak mahu saya solat di kedainya.

Salam.my – Nak berdakwah kepada non (atau not yet) Muslim ada caranya. Kisah inspirasi yang dikongsikan ini sedikit sebanyak boleh dijadikan bekalan ilmu untuk kita mengajak mereka mendekati dan seterusnya memeluk Islam. Kongsikan

Dulu saya kerja di sebuah kedai orang Cina beragama Buddha. Bos saya ni agak kurang suka kepada Islam.

Tapi, gaji diberi kepada saya berbaloi. Urus kedai dia, dapat dua ribu lebih sebulan. Pergi dan pulang, dia ambil dan hantar.

Peruntukan makan untuk saya sehari RM5. Elaun kehadiran penuh bulanan RM100. Duit raya Aidilfitri, Aidiladha, CNY dan hadiah hari jadi.

Dia juga tidak lokek berkongsi apa saja dengan saya. Dia beli baju, dia beli untuk saya sehelai. Dia beli buah, untuk saya pun mesti ada. Dia makan ais krim, dia beli untuk saya sekali.

Malah, pernah beberapa kali dia hantar saya ke destinasi kerana masa tu saya tak ada kenderaan.

Dia cuma tidak suka Islam. Dia pun sama macam orang lain, fobia dengan Islam hasil putar belit media.

Dia seboleh-bolehnya tidak mahu saya solat di kedainya. Tapi, saya tetap kena solat dan makan di situ sebab saya yang jaga kedai dia.

Mula, saya cari satu ruang yang muat-muat sejadah saya. Dia tak suka. Tapi, dia tak tegur. Masa saya sujud, dia lalu betul-betul depan saya.

Satu hari, dia tanya, “awak tadah tangan tu kenapa?”

“Doa.” Balas saya.

“Doa apa?” Tanya dia.

“Macam-macam. Saya doa bos punya kedai ramai pelanggan supaya saya dapat gaji besar.” Jawab saya.

“Awak pun doa untuk bisnes saya?” Dia seolah sinis.

“Ya. Sebab dalam bisnes bos ada gaji saya. Gaji saya tu rezeki saya.” Kata saya lagi.

Saya tahu, kita boleh je buat aduan jika majikan tak bagi solat. Tapi, mungkin ada juga cara lain yang lebih berhikmah.

Lama-lama, hubungan kami jadi sangat baik. Masa kerja, dia bos saya. Lepas kerja, dia layan saya macam kawan. Kerap kami pergi pasar malam sama-sama. Saya jalan belakang dia sebab hormat dia majikan saya. Tapi, dia tak suka. Dia kata, saya bukan maid dia.

Sampai la satu fasa, doa saya diterima. Dia bersihkan stor. Belikan selipar baru. Itu ruang solat saya. Dia kata, dia buat bukan sebab nak sokong saya solat. Dia cuma hargai sebab saya jujur dan rajin. Itupun dah berbaloi untuk saya.

Seterusnya, dia hormati ketika Ramadan. Saya ingat, dia buat carian di internet apa yang patut saya makan bila puasa. Sepanjang puasa, dia sediakan susu kotak, barli dan kurma. Saya kerja sampai 8 malam. Dia akan ingatkan waktu berbuka saya.

Sampai masa, saya berhenti. Tetapi, kami tetap berhubungan.

Satu hari, dia jumpa saya dan kata, “saya sudah percaya tentang doa awak.”

“Percaya bagaimana?” Tanya saya.

“Masa awak kerja dengan saya, pelanggan saya semakin ramai. Bila awak berhenti, pelanggan yang awak bawa dulu masih ada tapi dah tak tambah. Tak jadi semakin ramai.” Kata dia.

Saya senyum. Dulu saya pernah cakap kepada dia, seseorang yang datang dalam hidup kita, dia ada bawa rezeki dia sekali. Bila dia pergi, ada rezeki yang dia tinggalkan untuk kita.

Sebab tu kita tak boleh sombong dengan orang. Antara rezeki tu termasuklah ilmu yang diajarkan, circle dia yang akhirnya jadi networking kita atau apa saja.

“Sekarang saya tak kisah kalau anak saya nak kahwin dengan orang Islam. Dia tetap akan jadi anak saya. Lepas kenal awak, saya rasa Islam bukan agama jenayah.”

Saya angguk. Teringat dulu dia pernah cakap jika anak perempuan dia nak kahwin dengan lelaki Muslim, baik tak payah panggil dia mak.

Kita cuma perlu sedikit kesabaran bila dihina oleh orang jahil lalu membimbing juga dengan sabar dan teladan.

Kita perlu muhasabah untuk sedar diri status darjat kita di sisi manusia lain. Jika kita pekerja, rendahkan sedikit diri kita di hadapan majikan demi mewujudkan harmoni.

Kita perlu berdakwah menyebarkan kebaikan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *