, ,

Api Masih Membakar al-Aqsa Selepas 48 Tahun

Selama 48 tahun berlalu, tapak suci umat Islam itu masih terbakar, bahkan dengan keadaan yang lebih dahsyat.

AL-QUDS, 21 Ogos 2017 — Pada 21 Ogos 1969 seorang pelampau Kristian dari Aurtralia, Dennis Michael Rohan, dengan restu pihak keselamatan Zionis telah membakar Masjid al-Aqsa. Selama 48 tahun berlalu, tapak suci umat Islam itu masih terbakar, bahkan dengan keadaan yang lebih dahsyat.

Apa yang telah berlaku?
Di awal pagi Khamis apabila amaran kebakaran berdering, penjaga-penjaga Masjid al-Aqsa melihat asap hitam berkepul-kepul ke udara dari kawasan tenggara masjid. Apabila bergegas menyelidik, mereka dapati api sedang marak di dalam dewan solat Musolla al-Qibli.

Penduduk Islam dan Kristian berkejar menuju ke masjid untuk memadam api, tetapi pihak keselamatan Zionis menghalang mereka masuk. Tidak lama selepas bertempur sengit, mereka akhirnya berjaya masuk ke tapak suci itu dan mula berusaha keras memadam kebakaran. Apabila alat pemadam api gagal berfungsi mereka cuba mencari sumber-sumber air, tetapi mendapati pam-pam telah rosak dan paip-paip saliran telah dipotong. Mereka segera bersatu membentuk rantaian manusia, dan menggunakan baldi serta bekas-bekas kecil untuk membawa air ke bangunan yang terbakar itu.

Ketika jentera-jentera bomba dari bandar-bandar berdekatan dari Tebing Barat – Nablus, Ramallah, Al-Bireh, Beit Lahm, al-Khalil, Jenin dan Tulkarem – tiba, tentera Zionis menghalang mereka mendekatan kawasan kejadian. Kebakaran marak selama beberapa jam sehingga api mencecah tingkap-tingkap di bawah kubah, sebelum ia akhirnya dapat dipadam.

Apabila asap telah reda, kesan kemusnahan dapat dilihat dengan jelas. Api telah menelan hangus sebahagian daripada sudut-sudut binaan paling awal masjid itu, terutama sekali mimbar buatan kayu dan gading yang berumur 900 tahun, yang telah dihadiahkan oleh Salahuddin al-Ayubi. Begitu juga dengan panel mozek di dinding dan bumbung. Banyak lagi sudut-sudut dalam masjid menjadi hitam dan hangus.

Khatib al-Aqsa Sheikh Ekrima Sabri menceritakan, “Saya masih ingat peristiwa kebakaran itu, seolah-olah ia baharu berlaku semalam. Api memusnahkan hampir satu pertiga daripada Musolla al-Qibli.” Beliau mendakwa pihak rejim Zionis sengaja memotong bekalan air di kawasan tersebut serta menghalang pasukan bomba memadam kebakaran.

Apabila berita tentang kebakaran tersebar, penduduk mula mengadakan tunjuk perasaan di kota suci itu. Seluruh penduduk kota al-Quds bangkit, diikuti dengan wilayah-wilayah seluruh Tebing Barat bahkan juga wilayah Palestin 1948. Pasukan keselamatan Zionis bertindak dengan menutup semua laluan masuk ke masjid, sehingga solat Jumaat keesokannya tidak dapat didirikan di Masjid al-Aqsa buat pertama kali.

Pada awalnya pihak polis dan perbandaran Zionis mendakwa kebakaran tersebut berpunca dari masalah pendawaian elektrik. Namun selepas membuat siasatan teknikal, syarikat pembekal elektrik al-Quds mengumumkan kebakaran tersebut tidak ada sebarang kaitan dengan bekalan elektrik.

Tidak lama kemudian suspek dikenal pasti – Dennis Michael Rohan, 28, seorang pelancong Kristian dari Australia – yang kemudiannya ditangkap pada 23 Ogos. Rohan tidak sekali-kali takut untuk mendedahkan motif jenayah beliau itu; sebagai “wakil Tuhan”, beliau cuba untuk mempercepat kemunculan semula Nabi Isa AS, yang menurut beliau hanya dapat akan berlaku dengan membenarkan kaum Yahudi membina sebuah kuil di atas tapak Masjid al-Aqsa. Kuil Nabi Sulaiman pernah berdiri di atas tapak Masjid al-Aqsa.

Rohan akhirnya diisytihar sebagai seorang yang gila, dan dimasukkan ke sebuah hospital sakit jiwa. Namun ramai yang curiga bahawa beliau bukanlah satu-satunya penjenayah yang terlibat.

Pada 28 Ogos, 24 buah negara Islam telah menyerah surat bantahan di Majlis Keselamatan PBB. Duta Jordan ke PBB, Mohamed El-Farra menyebut, “Menurut berita dari sumber-sumber Zionis, suspek berbangsa Autralia dibawa masuk oleh Jewish Agency untuk bekerja di Israel. Jewish Agency mengatur supaya beliau bekerja selama beberapa bulan di Kibbutz, supaya beliau dapat belajar bahawa Ibrani dan ajaran Zionis dengan lebih mendalam. Kehidupan beliau di Kibbutz dan impian beliau untuk melihat Kuil Sulaiman dibina sangat mencurigakan, dan menyebabkan penduduk Islam bimbang terhadap masjid suci mereka. Keadaan ini menjelaskan siapa penjenayah sebenarnya, dan juga siapa rakan penjenayah.”

Beberapa tahun sebelum itu, pegawai-pegawai Zionis membuat beberapa kenyataan ikrar untuk membina Kuil Sulaiman di atas tapak Masjid al-Aqsa. Keganasan berterusan rejim Zionis ke atas penduduk Palestin sejak dua tahun terdahulu, iaitu penjajahan Tebing Barat dan al-Quds Timur dalam perang 1967, juga menjadi perhatian.

PBB kemudian mengambil langkah mengecam serangan tersebut, dan mendesak rejim Zionis membatalkan semua rancangan untuk mengubah status kota al-Quds. Rejim Zionis tidak sedikit pun peduli, sebagaimana yang pernah mereka lalukan sebelum ini, dan akan mereka terus lakukan di masa akan datang.

Rejim Zionis disyaki terlibat secara aktif dalam merancang dan membantu Rohan melakukan jenayahnya itu. Tuduhan ini tidak pernah dinafikan.

Apa yang berlaku 48 tahun kemudiannya?
Beberapa minggu lalu pada 14 Julai, kita telah menyaksikan bagaimana tentera Zionis sekali lagi menutup Masjid al-Aqsa, buat pertama kali selepas persitiwa kebakaran tahun 1969 itu. Mereka memasang alat-alat pengesan logam dan kamera keselamatan sebelum tapak suci itu dibuka semula, dengan menegnakan pelbagai syarat.

Tindakan tersebut mencetus bantahan, di mana para jemaah berjaga dan mendirikan solat berdekatan pintu-pintu masuk di luar tembok masjid. Pertempuran dengan tentera Zionis sepanjang lebih dua minggu itu telah mengorbankan enam penduduk Palestin dan mencederakan ribuan yang lain.

Selepas bantahan dan kemarahan selama 11 hari, rejim Zionis akhirnya “bertolak ansur” dengan membuang peralatan dan membatalkan semua langkah-langkah keselamatan.
Penduduk Palestin akhirnya memasuki masjid suci itu dengan penuh kegembiraan, tetapi insiden tersebut hanyalah satu peringatan bahawa serangan ke atas Masjid al-Aqsa tidak akan pernah berhenti.

Hingga hari ini, Masjid al-Aqsa masih menjadi simbol pencabulan berterusan ke atas hak penduduk Palestin, termasuk hak mereka untuk beribadat secara bebas dan aman.

Begitu juga, sikap sepi dunia Arab terhadap serangan Zionis masih kekal begitu. Mereka menulis surat bantahan pada tahun 1969, tetapi hampir 50 tahun kemudian pendatang Yahudi masih menceroboh masuk Masjid al-Aqsa bersama pasukan keselamatan Zionis, ketika para jemaah dihalau dari pintu-pintu masuk dan struktur bangunan masjid dirosakkan dengan kerja-kerja penggalian bawah tanah.

Jordan telah menanggung semua kos membaiki Masjid al-Aqsa selepas kebakaran, tetapi apabila masjid suci itu dikepung sejak Julai kerajaan Jordan lebih mengutamakan usaha menghantar penembak Yahudi, yang membunuh penduduknya yang membatah pencabulan tersebut, pulang ke Tel Aviv.

Ketika kita memperingati peristiwa kebakaran Masjid al-Aqsa, ingatlah bahawa tapak suci itu masih berhadapan dengan ancaman sebagaimana 48 tahun lalu, bahkan mungkin lebih sengit lagi.

sumber: Haluan Palestin, MEMO, PIC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *