Salam.my – Hidayah Allah itu luas. Jika Allah hendak memberi hidayah kepada seorang yang anti-Islam, tiada yang mustahil. Ikuti kisah bagaimana seorang tauke cina yang anti Islam ini akhirnya memilih Islam.
[Dari Anti Islam Kepada Memeluk Islam]
Ini adalah kisah bagaimana seorang tauke Cina berusia 50an kembali kepada Islam di Multiracial Reverted Muslims – MRM.
Mr. Choo dilahirkan dalam keluarga beragama Buddha. Sepanjang hidupnya, beliau jarang bergaul dengan orang Melayu dan juga Muslim. Kenalannya di kalangan orang Melayu dan Muslim adalah amat terhad dan kurang rapat. Beliau juga mengakui bahawa beliau kurang berkenan dengan orang Melayu & Muslim.
Walaupun begitu, Allah Subhana Wa Ta’ala tahu siapa yang ada secebis kebaikan dan keikhlasan dalam diri mereka dan kebiasaanya mereka ini yang akan menerima hidayah dariNya.
Eksekutif Dakwah MRM, Bro Robert Ta telah berjumpa dengan beliau pada bulan lepas dan mengadakan perbincangan selama hampir 4 jam dari 11pm sehingga 3pagi! Beliau menelefon kami untuk berjumpa selepas membuat carian di internet NGO Islam dan menurutnya, beliau menghubungi kami kerana waktu yang fleksibel untuk berjumpa dan bukan sekadar waktu pejabat.
Sepanjang 4 jam perbincangan dengan Eksekutif Dakwah MRM, Bro Robert Ta, beliau banyak bertanyakan soalan sensitif yang beliau risau untuk bertanya kepada kenalannya kerana takut mereka akan marah kepadanya. Antara persoalannya ialah bagaimana Islam boleh mengatakan hanya agama Islam sahaja yang betul dan semua agama tidak betul, apakah persamaan ajaran Islam dan nilai budaya masyarakat Cina, isu-isu semasa dan juga hubungan seorang Muslim dengan bukan Muslim serta banyak lagi.
Persoalan yang dilontarkan oleh beliau adalah dari apa yang beliau dengar dari sahabat Belum Muslim di sekelilingnya, di media massa berbahasa Cina dan persepsinya berdasarkan pengamatannya sendiri. Beliau dengan jujur juga mengtakan beliau terdetik dan berhubung dengan kami untuk mendapatkan jawapan kepada persoalannya setelah melihat akhlak dan sikap baik yang ditunjukkan beberapa kenalan dan pekerja Muslimnya.
Alhamdulilah, Bro Robert Ta memberikan penerangan kepada setiap persoalannya sehingga beliau sendiri berpuas hati.
Selepas sebulan perbincangan itu, beliau menghubungi kami sekali lagi dan kali ini beliau menyatakan hasrat untuk memeluk Islam dan sekali lagi beliau hanya lapang pada sebelah malam dan Alhamdulilah, beliau telahpun mengucapkan dua kali syahadah pada hari Isnin, 6 Januari 2020 jam 9.30pm di pejabat operasi Multiracial Reverted Muslims (MRM). Alhamdulilah Allahuakbar.
Semakin kerap media memburukkan Islam & Muslim, tidak dinafikan akan ada ramai yang semakin menjauhkan diri serta membenci Islam. Namun mereka yang berfikiran logikal, terbuka dan ikhlas mencari kebenaran pasti akan mencari jalan untuk mengetahui apakah benar apa yang dilaporkan oleh media tentang Islam dan Muslim ini. InshaAllah mereka yang benar-benar ikhlas dan logikal pasti akan menemui jalan dan akan dipimpin oleh Allah Subhana Wa Ta’ala kembali kepada agama fitrah.
Tahun 2019, kami difitnah dan dikritik pelbagai pihak kononnya kami sangat ekstrim dan agresif dan akan menakutkan Belum Muslim dari memeluk Islam. Namun statistik yang kami perolehi adalah hampir 150 individu memeluk Islam bersama dengan MRM pada tahun 2019, meningkat sekali ganda dibandingkan dengan 2018 yang berjumlah 80 orang! Alhamdulilah. Hadha Min Fadzli Rabbi.
Rata-rata yang hadir berjumpa kami untuk berbincang dan memeluk Islam mengatakan mereka suka dengan pendekatan kami yang berpegang teguh dengan prinsip serta tegas dalam bicara tanpa bahasa kasar dan kesat. Semoga Allah Subhana Wa Ta’ala jadikan kita semua asbab manusia dikurniakan hidayah dan mendapat kebaikan. Allahuma Ameen.
Ayuh sahabat semua, teruskan dakwah kita menyampaikan kebenaran. We do our best let Allah do the rest. We convey not convert.
sumber: FB Firdaus Wong MRM