, , , , , ,

8 Makanan Sunnah Yang Patut Anda Amalkan Setiap Hari

Makanan Sunnah Menjadikan Anda Genius!

Menjaga pemakanan sangat penting untuk satu organ kita yang sangat penting iaitu otak. Mengapa menjaga pemakanan itu penting di dalam Islam? Di sini saya melihat pada konteks yang diajarkan Allah swt di dalam al Qur’an seperti firmannya:

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah: 172)

Ya, makanlah dari rezeki yang baik-baik sebagai tanda syukur pada nikmat dari Allah swt. Menjaga pemakanan bermakna kita juga menjaga tubuh fizikal yang dikurniakan Allah swt. Ini juga menjadi sebahagian ibadah sebagai hamba Allah, salah satu cara hidup dalam Islam. Rezeki yang baik-baik pula semestinya halal kerana setiap yang haram dan dilarang oleh Allah swt dan RasulNya adalah memudaratkan manusia.

Dari al Quran telah diberi panduan bagaimana mencari yang terbaik bagi diri kita. Rasulullah saw juga amat tegas tentang soal menjaga kesihatan dan keberadaan tubuh badan seperti sabda Baginda:

“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”Hadis Riwayat Bukhari

Menunaikan hak terhadap tubuh badan adalah menjaganya dengan baik serta selamat dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani bagi memastikan tubuh badan kita dapat berfungsi secara optimum dan berupaya mencapai potensi dan matlamat hidup berpandukan agama. Menjadi Mukmin yang kuat juga adalah lebih dituntut berbanding dengan mukmin yang lemah seperti sabda Baginda saw lagi:

“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.”Hadis Riwayat Muslim

Oleh itu, kali ini saya ingin berkongsi sunnah Rasulullah s.a.w sebgai panduan dalam pemlihan makanan yang diambil yang mana secara tidak langsung dapat membantu agar tubuh badan kita menjadi lebih sihat.

Dengan izin Allah swt juga, makanan-makanan ini bukan sahaja membantu mencerdaskan otak malah memberi kesihatan tubuh, melambatkan, mencegah serta membantu kesembuhan pada penyakit-penyakit yang melibatkan struktur dan fungsi otak seperti Dementia, Schizophrenia, Alzheimer, Parkinson, Strok dan lain-lain penyakit lagi.

Makanan Sunnah #1 – Madu

Madu merupakan satu-satunya makanan dihasilkan oleh lebah yang memiliki kesemua komponen keperluan hidup manusia termasuk enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin iaitu satu antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak. Bahan antioksida diperlukan bagi melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel.

Madu disebut dengan pelbagai kelebihan di dalam al-Quran.

Menjaga keberadaan sel adalah sangat penting kerana ada berbilion sel yang menjadi komponen utama otak. Otak memerlukan sel-sel dan saraf yang sentiasa berhubung bagi melakukan penyampaian matlumat agar mudah dan cepat diproses dan disimpan di dalam memori.

Terdapat banyak lagi kelebihan pada madu yang menjadi penawar pada pelbagai penyakit dan ini selari dengan janji dalam firman Allah swt:

Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Al-Nahl: 69)

Makanan Sunnah #2 – Kismis

Buah anggur segar mengandungi kandungan vitamin C dan flavonoid yang tinggi. Vitamin C banyak membantu menjaga kesihatan badan manakala flavonoid adalah antioksida yang membantu melawan radikal bebas. Anggur kering iaitu kismis pula kaya dengan pelbagai vitamin, riboflavin dan folat. Selain itu, mineral surih bernama boron membantu meningkatkan penumpuan, koordinasi tangan dan mata serta meningkatkan memori.

Ramai ulama’ menggalakkan pelajar mereka mengamalkan kismis.

Kismis juga merupakan salah satu makanan yang boleh mengurangkan tekanan, melancarkan peredaran darah, merawat anemia, menguatkan jantung dan menerangkan hati selain dari terkenal dengan kelebihannya kepada otak. Sabda Rasulullah saw tentang kismis adalah:

“Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih.”

Manakala ramai ulama’ yang menggalakkan pelajar mereka memakan kismis untuk menambah daya ingatan otak seperti Ibni Qayyim sebagai berkata:

“Sesiapa yang ingin menghafal hadis hendaklah sering memakan kismis.”Petikan kitab Tibb an-Nawawi

Kismis sebagai makanan otak telah lama dibuktikan dalam amalan pemakanan para ulama’ Islam yang rata-rata berjaya meraih taraf ilmuwan di usia muda dan dalam pelbagai bidang. Pencapaian luar biasa para ulama’ terdahulu membuktikan tahap luar biasa kapasiti otak yang mereka bentuk sejak kecil lagi.

Makanan Sunnah #3 – Kurma

Buah yang manis ini adalah suatu keajaiban untuk manusia. Memiliki mineral, vitamin, serat dan antioksida yang lengkap untuk kesihatan keseluruhan badan telah menjadikan buah kurma diiktiraf sebagai pengganti diet yang paling baik di dunia terutamanya ketika proses penyembuhan penyakit.

Kurma di iktiraf oleh Rasulullah s.a.w sebagai buah yang bagus untuk otak.

Antaranya kurma dapat membantu pesakit anemia, menguatkan tulang, meningkatkan tenaga batin, mengawal berat badan, mencegah kanser dan mengelak serangan angin ahmar. Potassium di dalam kurma pula menjadi agen utama dalam menjaga kesihatan sistem saraf. Ini telah meningkatkan kepantasan dan ketajaman aktiviti otak.

Amalan memakan kurma bukan sahaja boleh dilakukan oleh individu malah digalakkan kepada wanita mengandung untuk memakannya bagi membentuk otak yang sihat buat bayi di dalam kandungan. Buah kurma juga telah diiktiraf oleh Rasulullah saw sebagai makanan yang baik untuk otak seperti sabda Baginda:

“Berilah makan kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”

Ini dikuatkan lagi dengan kisah Maryam di dalam Quran di mana Allah swt telah menjadikan kurma sebagai santapan Maryam setelah kelahiran Nabi Isa as. Ini membuktikan keajaiban kurma sebagai penyembuh dan zat lengkap bagi manusia.

Makanan Sunnah #4 – Buah Tin

Demi buah Tiin dan Zaitun, Dan Gunung Tursina, Serta negeri (Makkah) yang aman ini, – Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin: 1-4)

Betapa hebatnya buah tin sehingga salah satu surah di dalam Qur’an dinamakan dengannya. Apa yang menyebabkan buah ini mendapat kedudukan yang istimewa di dalam Islam? Seperti kurma, kualiti buah tin bertambah seiring dengan kadar pengeringan buahnya. Buah kecil ini ternyata memiliki kandungan vitamin, mineral, serat dan antioksida yang tinggi.

Secara saintifiknya apabila komponen dan keperluan badan adalah lengkap, maka badan akan berada dalam keadaan kesihatan yang optimum kerana mampu berfungsi dengan baik. Istilah ‘you are what you eat‘ juga ada benarnya. Buah tin banyak membantu menyihatkan sistem pencernaan. Apabila sistem penghadaman sihat maka segala nutrisi dan khasiat makanan dapat diserap dengan sepenuhnya oleh darah.

Hebatnya buah tin sehingga dinamakan sebagai satu surah.

Aktiviti penyingkiran toksin dan sisa buangan juga dapat dilakukan dengan lebih efisien. Darah yang terhasil adalah lebih berkualiti dan darah ini akan mudah diangkut ke seluruh badan termasuk otak. Bukan sahaja otak mendapat segala kebaikan malah antioksida, vitamin dan mineral dari buah ini juga dapat mengelak keradangan otak dan meningkatkan fungsi otak. Buah tin yang juga dapat mengawal tekanan darah mampu membantu dalam menangani tekanan dan mengelak serangan strok.

Keistimewaan demi keistimewaan yang banyak dari buah kecil ini tidaklah mustahil apabila buah ini diangkat sebagai buah dari syurga seperti sabda Baginda saw:

“Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka aku kata, ‘inilah buahnya (tin)’, sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya.”Hadis Riwayat Abu Darda; Suyuti

Makanan Sunnah #5 – Minyak Zaitun

Saya cukup terpikat dengan pujian Allah swt kepada minyak zaitun yang bercahaya dan menjadi sumber cahaya di dalam surah an-Nur ayat 35 seperti berikut:

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nuur: 35)

Ayat ini bukan sahaja memberi gambaran betapa indahnya cahaya itu malah menjadikan saya berfikir apakah yang menjadikan minyak zaitun bukan sahaja bercahaya seperti di dalam ayat di atas malah para ulama’ mengatakan bahawa minyak zaitun boleh menerangi hati seorang penuntut ilmu menjadikan hafalannya mudah dan hidayah Allah swt sentiasa menaunginya.

Suatu ilmu akan mudah difahami dan dihafal dengan keupayaan otak yang cemerlang. Di dalam Islam, ilmu juga diumpamakan sebagai cahaya. Bagai ada suatu hubungan antara sifat ilmu dan minyak zaitun serta hubung kait dengan otak. Apakah rahsianya?

Para saintis juga telah menemui banyak kelebihan minyak zaitun.

Minyak zaitun kaya dengan polyphenols- antioksida semulajadi, lemak sihat, sumber bagi Omega 3 dan Omega 6 yang juga terdapat di dalam ikan, avokado dan kekacangan. Antara khasiatnya adalah menurunkan paras kolestrol, mengelakkan masalah jantung, mengawal tekanan darah, mengurangkan tanda-tanda penuaan, menguatkan sistem imunisasi, melindungi dari kesan radikal bebas dan mengelak keradangan.

Para saintis juga telah menemui bukti bahawa minyak zaitun memberi kesan yang baik terhadap tulang dan kesihatan penghadaman serta agen anti-kanser. Tubuh badan yang sihat membantu otak menjadi cerdas secara tidak langsung. Secara khusus kepada otak pula, minyak zaitun membantu meningkatkan keupayaan kognitif dan juga memori. Mungkin kunci utamanya adalah lemak berguna di dalam minyak zaitun yang penting bagi pemantapan kondisi otak kerana 60% komponen otak adalah lemak.

Makanan Sunnah #6 – Habatus Sauda’

Dari dulu lagi saya mengamalkan minyak habatus sauda’ sebagai makanan tambahan untuk diri saya. Jujurnya bukanlah fokus untuk otak kerana ketika itu saya hanya tahu bahawa biji hitam ini sangat baik bagi meningkatkan imunisasi badan dan melawan penyakit (saya jenis yang mudah jatuh sakit).

Kemudian saya mula termenung setelah membaca sabda Nabi saw di dalam Kitab Sahih al Bukhari Muslim, Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

“Tetaplah kamu dengan Al-Habah Al-Sauda’ kerana sesungguhnya ia adalah penawar bagi segala penyakit kecuali As-Sam atau mati.”

Apa yang mengganggu fikiran saya adalah betapa kuatnya penekanan terhadap biji kecil ini sebagai penawar kepada SEGALA PENYAKIT. Terlalu banyak jenis penyakit di atas dunia ini. Mana mungkin biji yang BEGITU KECIL memiliki begitu BANYAK KHASIAT.

Habbatus sauda mempunyai banyak kelebihan yang tidak dapat digambarkan.

Tak logik. Rasa ingin tahu telah menyebabkan saya mula menerokai matlumat mengenai habatus sauda’ dan apa yang saya jumpa sangat hebat. Ya, terlalu banyak khasiat di dalamnya sehingga tidak mampu untuk dinukilkan kesemuanya di dalam artikel ini. Malah kajian masih lagi dijalankan ke atas biji kecil molek ini. Maha Suci Allah dan Maha Sempurna Allah. Siapa saya untuk meragui keAgungan Pencipta alam ini yang Maha Kuasa atas segalanya. Tiada batas untuk Dia melakukan apa sahaja.

Dalam banyak-banyak penyakit yang boleh disembuhkan dan dielakkan dengan mengamal habatus sauda’ (insya-Allah), saya pilih satu yang paling menarik perhatian saya. Minyak habatus sauda’ telah terbukti mampu merawat penyakit epilepsi. Secara umum apabila suatu pekerjaan dilakukan, bahagian otak yang tertentu akan menghantar isyarat bagi melaksanakan pekerjaan itu.

Namun apa yang berlaku kepada pesakit epilepsi adalah semua bahagian otak tiba-tiba menghantar isyarat secara serentak sehingga mewujudkan kecelaruan kepada pesakit yang menyebabkan sawan. Kajian pada tahun 2007 ke atas kanak-kanak yang menghidap penyakit ini mendapati bahawa minyak habatus sauda’ dapat mengurangkan serangan sawan ke atas kanak-kanak ini. Ini hanya satu daripada banyak lagi kelebihan habatus sauda’ yang membantu pemulihan keadaan otak seterusnya mengoptimumkan kapasiti otak.

Makanan Sunnah #7 – Susu Kambing

Susu kambing adalah makanan penyembuhan yang terbaik bagi membina otak, sistem saraf dan fakulti mental. Susu kambing mengandungi segala vitamin, mineral, protein dan lemak yang penting bagi pertumbuhan jaringan otak, enzim dan neurotransmitter sekaligus memberi tenaga untuk otak.

Susu kambing juga adalah yang terbaik untuk menghasilkan semula sel-sel di dalam badan bagi memulihkan kesihatan seseorang. Kebaikan susu begitu diangkat sehingga di dalam riwayat Imam al Bukhari diceritakan bahawa ketika peristiwa Isra’ Mikraj, Jibril yang menghidang susu dan arak kepada Rasulullah saw telah memuji pilihan Baginda iaitu susu. Jibril berkata,

“Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan engkau kepada fitrah. Seandainya engkau memilih khamr, nescaya binasalah umatmu.”

Susu kambing adalah makanan penyembuhan yang terbaik bagi membina sistem saraf.

Walaupun tidak dinyatakan susu apa yang dihidang kepada Baginda ketika itu namun cukup jelas bahawa Allah telah memberi nikmat yang besar kepada manusia melalui susu dan meminum susu juga menjadi sunnah KekasihNya sendiri. Begitu dekatnya susu dengan manusia sehingga susu adalah sebahagian dari fitrah manusia. Susu kambing paling menjadi kegemaran Rasulullah saw terutamanya yang diminum terus selepas diperah.

Keistimewaan susu kambing adalah pada nutrisinya yang dua kali ganda lebih baik berbanding susu lembu. Malah kehebatan susu kambing ternyata sama tandingnya dengan susu ibu sendiri. Bayi yang minum susu ibu dan susu kambing ternyata memiliki sistem imunisasi yang lebih kuat, lebih cerdas dan pintar berbanding dengan anak-anak yang diberi susu lembu atau susu ibu sahaja.

Selain itu susu kambing juga ternyata boleh diminum oleh semua peringkat umur kerana tidak menyebabkan alahan dan keradangan seperti susu lembu. Partikel lemaknya yang lebih kecil menjadikan susu kambing ternyata lebih mudah dihadam berbanding susu lembu.

Suka saya ingin pembaca supaya jelas bahawa proses penutrisian otak adalah berkait rapat dengan sistem penghadaman yang baik. Susu kambing telah terbukti mampu merawat Crohn’s disease iaitu suatu penyakit yang kronik melibatkan sistem penghadaman. Keadaan gastrik yang teruk juga boleh dipulihkan dengan susu kambing.

Melalui sistem penghadaman yang sihat, segala nutrisi yang kaya di dalam susu dapat dimanfaatkan bukan sahaja pada otak malah keseluruh tubuh manusia. Di sini jelas sunnah meminum susu kambing sangat penting dalam kesihatan dan kekuatan seorang muslim. Betapa besarnya hikmah dan nikmat Islam kepada kita.

Makanan Sunnah #8 – Air Zam-Zam

Umat Islam percaya bahawa air zam-zam adalah kurniaan dan rahmat dari Allah سبحانه وتعالى. Air zam-zam mampu menghilangkan dahaga dan kelaparan. Itulah sebabnya jemaah umrah dan haji disunatkan meminum air zam-zam sepuas-puasnya terutama selepas melakukan Ibadah Tawaf.

Sesungguhnya Rasulullah ﷺ ada bersabda: “Perbezaan antara kita dan orang ramai (kaum munafik) adalah mereka itu tidak suka meneguk (minum) air zam-zam.” (Hadis riwayat Addara Qutni dan lbnu Majah).

A. Adab Meminum Air Zam-Zam

Adab ketika minum air zam-zam itu sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian Fuqaha adalah termasuk dalam hukum sunat, antaranya:

1. Menghadap kiblat,
2. Membaca Bismillah sebelum minum.
3. Minum air zam-zam dengan niat ikhlas.
4. Jangan minum dengan sekali teguk sehingga habis
5. Minum sebanyak tiga kali dan diselangi bernafas di luar bekas minuman, kemudian baru teguk lagi.
6. Setiap kali mengambil nafas ketika minum air zam-zam, melihat ke arah Kaabah/kiblat.
7. Minumlah air zam-zam sehingga kenyang kerana orang munafiq tidak meminumnya sehingga kenyang.
8. Sesudah minum, ucapkan pujian kepada Allah سبحانه وتعالى (baca Alhamdulillah).
9. Memperbanyakkan doa ketika minum dan mengharapkan kebaikan di dunia dan akhirat.

B. Hadis Ibnu Majah

Adab minum air zam-zam ini juga sebagaimana disebutkan dalam hadis oleh Ibnu Majah:

Daripada Muhammad bin Abdurrahman bin Abu Bakr, katanya: “Ketika aku duduk di sisi Ibnu ‘Abbas datang seorang lelaki kepadanya, lalu berkata Ibnu ‘Abbas: “Dari mana engkau datang?”

Lelaki itu berkata: “Dari perigi zam-zam.”

Ibnu Abbas berkata: “Apakah engkau minum dari perigi itu sebagaimana yang sepatutnya.”

Lelaki itu berkata: “Bagaimana?”

Ibnu Abbas berkata: “Apabila engkau minum air zam-zam, maka menghadaplah ke kiblat, sebut nama Allah سبحانه وتعالى dan bernafaslah tiga kali (waktu minum). Minumlah air zam-zam sehingga kenyang dan jika sudah selesai maka pujilah Allah ‘azza wajalla. Sesungguhnya Rasulullah ﷺbersabda: “Sesungguhnya tanda yang membezakan antara kita dengan orang-orang munafiq, sesungguhnya mereka tidak minum air zam-zam itu sehingga kenyang.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ibnu Abbas menjelaskan: “Apabila minum air zam-zam hendaklah menghadap kiblat, sebutkan nama Allah (baca Bismillah) dan bernafas di luar bekas minuman, kemudian baru teguk lagi dan (sesudah selesai minum) ucapkan pujian kepada Allah سبحانه وتعالى (baca Alhamdulillah).”

Dapatkan bekalan air zamzam dari Zam-Zam.my – Pengedar, Pemborong & Pembekal Air Zam Zam Malaysia

Makanan Sunnah Menjadikan Anda Genius!

Pembaca yang budiman, dengan mengamalkan makanan-makanan sunnah ini, kita boleh menjadi seorang yang genius! Namun menjadi genius bukan bergantung kepada makanan yang diambil semata-mata. Makanan hanya sebahagian dari kunci-kunci rahsia menjadi genius. Dengan izin Allah swt juga barulah nikmat makanan dapat dimanfaatkan oleh kita.

Sepanjang pemerhatian dan kajian saya ketika di pengajian tinggi kepada kisah hidup para ilmuwan Islam di dalam sejarah, para pensyarah dan rakan-rakan saya yang genius, ternyata genius juga bergantung kepada tabiat, aktiviti, akhlak, personaliti dan teknik belajar seseorang individu. Justeru mengenali kunci-kuncinya akan membuka peti-peti rahsia untuk meningkatkan potensi diri yang sebenar manusia.

Ternyata juga apabila seorang muslim mengenali kunci-kunci ini, kita tidak akan hairan dengan firman Allah swt di dalam surah ali Imran ayat 110 bahawa Umat Islam adalah sebaik-baik umat. Petunjuk sudah ada di situ. Islam itu adalah cara hidup menyeluruh yang membawa kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Qur’an dan hadis ada menunjukkan caranya. Maka, di mana kunci-kunci itu? Di mana kita yang sepatutnya menggenggam kunci-kunci itu?

sumber: Tazkirah.net, ShafiQolbu

One Ping

  1. Pingback:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *