Salam.my – Artikel ini ditulis untuk mengajak anda berfikir dan mengkaji semula adakah benar umur Aisyah R.A ketika berkahwin dengan Rasulullah 6 tahun atau sebenarnya terdapat cubaan pemalsuan sejarah? Baca tapi jangan terus percaya sepenuhnya, sebaliknya buat kajian lebih mendalam dan tabayun akan hal ini.
Seorang Ulama’ Pakistan, Allama Habibul Rahman Kandhalwi telah membuat kajian mendalami kekeliruan sejarah umur Saidatina Aisyah & Saidatina Khadijah ketika berkahwin dengan Rasulullah. Beliau mengemukakan 24 dalil Naqli & Aqli bagi menolak pendapat lama dan mengatakan penyelewangan sejarah ini berpunca daripada Syiah yang ingin merosakkan pemikiran umat Islam.
Termasuklah pemalsuan sejarah Islam dalam mengemukakan umur isteri-isteri Rasulullah. 1. Saidatina Aisyah berkahwin dengan baginda ketika berumur 16 tahun (bukannya 6 tahun), dan mula tinggal bersama baginda ketika umurnya 19 tahun (bukan 9 tahun) selepas peristiwa hijrah ke Madinah. 2. Usia Saidatina Khadijah ketika berkahwin dengan baginda ialah 25 tahun (bukan 40 tahun), dan pada ketika itu juga umur baginda 25 tahun. Sejarah mencatatkan mereka berdua dikurniakan 4 cahaya mata perempuan dan 3 lelaki.3. Saidatina Fatimah dilahirkan di Mekah sebelum Nabi SAW dilantik menjadi rasul dan berkahwin dengan Saidina Ali di Madinah ketika berusia 19 tahun (bukan 9 tahun).
Maulana Habibul Rahman turut menulis kertas kerja yang pada mulanya dalam bahasa Urdu dan kini sudah ada terjemahan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Maulana Asri Yusof, seorang ahli Hadis Malaysia turut bersetuju dengan cara pemikiran Maulana Habibul Rahman. Beliau telah menghuraikan dengan panjang lebar hujah Habibul Rahman ini.
Bagi sesiapa yang berminat, boleh membaca di Darul Kautsar atau melalui Youtube di bawah tajuk “Umur Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah.”
Semenjak kita sekolah lagi, kita telah didedahkan bahawa Rasulullah berkahwin dengan Saidatina Khadijah yang ketika itu berusia 40 tahun. Sedangkan, sejarah turut menyatakan bahawa Rasulullah mendapat 7 atau sesetengah riwayat mengatakan 8 orang anak. Bolehkah seseorang yang berusia 40 tahun ke atas sempat melahirkan 7 orang anak?
Kita juga didedahkan Rasulullah berkahwin dengan Saidatina Aisyah yang ketika itu berumur 6 tahun, sebuah perkahwinan bawah umur. Namun, perawi dalam hadis ini iaitu Hisham bin Urwah sangat berusia ketika mencatatkan hadis berkenaan. Ramai Ulama’ juga mempertikaikan hadis Hisyam yang terlalu berusia (berumur lebih 70 tahun) dan waktu itu beliau tinggal di Iraq. Sesetengah Ulama’ menyatakan Hisyam telah tersilap dengar enam belas kepada enam, dan sembilan belas kepada sembilan.
Setelah dibuat kajian, umur Aisyah bukan 6 tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah dan bukan 9 tahun ketika bersama baginda. Antara hujah yang diberikan adalah:
- Bertentangan dengan fitrah manusia.
- Bertentangan dengan akal yang waras.
- Tiada contoh lain yang ditemui di negara Arab atau di negeri panas.
- Riwayat ini bukan hadis Rasulullah.
- Hanya perawi Iraq yang menukilkan riwayat ini.
- Aisyah masih mengingati ayat al-Quran yang diturunkan di tahun keempat kerasulan.
- Aisyah masih ingat peristiwa Abu Bakar ke Habsyah.
- Aisyah mengelap hingus dan luka Usamah bin Zaid yang dikatakan sebaya dengannya.
- Aisyah turut serta dalam perang Badar.
- Aisyah menyertai perang Uhud sedangkan kanak-kanak lelaki yang berusia 14 tahun tidak dibenarkan menyertai perang.
- . Aisyah lebih muda 10 tahun dari kakaknya, Asma. Dan pada peristiwa hijrah, Asma berumur 27 tahun atau 28 tahun.
- Ahli sejarah at-Tabari mengatakan Aisyah lahir di zaman Jahiliyyah (sebelum kerasulan).
- Aisyah adalah orang terawal memeluk Islam.
- Abu Bakar bercadang ingin mengahwinkan Aisyah sebelum berhijrah ke Habsyah.
- Aisyah disebut sebagai gadis dan bukan kanak-kanak ketika berkahwin dengan Rasulullah.
- Rasulullah tidak tinggal bersama dengan Aisyah disebabkan masalah mendapatkan mahar, bukan kerana Aisyah terlalu muda.
- Hadis yang mensyaratkan persetujuan gadis sebelum dikahwinkan memerlukan gadis tersebut telah cukup umur.
- Kebolehan luar biasa Aisyah mengingati syair yang biasa disebut di zaman Jahiliyyah membuktikan beliau lahir di zaman itu.
- Kemahiran dalam ilmu sastera, salasilah dan sejarah sebelum Islam.
- Keinginan mendapatkan anak dan naluri keibuan tidak mungkin timbul dari kanak-kanak bawah umur.
- Aishah sebagai ibu angkat kepada Bashar yang berumur 7 tahun selepas perang Uhud.
- Tidak wujud perkahwinan gadis bawah umur dalam masyarakat Arab dan dalam masyarakat bertamadun.
- Kesepakatan (Ijmak) umat Islam dalam amalan ini.
Referensi: Pemurnian Sejarah: Umur Aisyah Ketika Berkahwin Dengan Rasulullah
Siri 1/2: https://youtu.be/CxoBXJeGjkQ
Siri 2/2: https://youtu.be/fEgLVlcNksI
PDF : Download
sumber: Dakwah 06 01