, , , ,

Kenali Aleah, Rakyat Malaysia Yang Bertugas Dalam Kelab Liverpool

Mohamed Salah pula agak pemalu pada mula­nya, namun, gemar tersengih.

Salam.my – Kami kongsikan kisah yang boleh dijadikan inspirasi. Kenali Aleah, wanita dari Malaysia yang muncul sedang menjalankan tugas dalam kelab Liverpool.

Misteri siapa wanita bertudung bawal ketika memberi pemeriksaan kesihatan ke atas pertahanan Liverpool, Joe Gomez yang dimuat naik dalam laman YouTube rasmi kelab tersebut pada Julai tahun lalu kini berjaya dirungkai.

Wanita tersebut sebenarnya merupakan rakyat Malaysia, Aleah Mohammad yang sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang fisiologi kardiovaskular di Universiti Liverpool John Moores.

Dalam video ‘Inside Training: Energy-sapping bleep tests | Keita, Fabinho & Milner’ yang berdurasi 10 minit 26 saat itu, kelibat Aleah dilihat muncul pada minit 5.10 saat.

Menceritakan bagaimana ibu kepada tiga orang cahaya mata itu boleh menyertai pasukan perubatan Liverpool, Aleah, 37 berkata, ia bermula selepas salah seorang penyelia Profesor Dr. John Somauroo menawarkannya untuk melakukan ujian saringan kardiovaskular bagi skuad Reds.

“Pada akhir tahun 2015, saya mula menjalankan kajian PhD saya berkaitan kardiovaskular untuk pasukan Liverpool Ladies.

“Kemudian, salah seorang penyelia saya, Profesor Dr. John Somauroo yang juga merupakan Pakar Perunding Kardiologi untuk Persatuan Bola Sepak (FA) England dan Liverpool menawarkan saya untuk sama-sama terlibat melakukan ujian saringan kardiovaskular bagi kelab ini.

“Sejak itu, saya mula bersama melakukan ujian saringan untuk Liverpool,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Banyak kisah menarik dikongsikan bersama Aleah, antaranya perangai pemain Liverpool di samping sikap pengendali Reds, Jurgen Klopp dari sudut kaca matanya.

“Pada pemerhatian saya, boleh dikatakan tiada seorangpun pemain Liverpool berlagak diva. Cuma ada seorang dua pemain yang kelihatan agak serius dan tidak banyak bercakap, namun, sentiasa patuh dengan arahan daripada pegawai kelab.

“Saya menyenangi sikap Alex Oxlade-Chamberlain yang paling mudah memberikan kerjasama. Mohamed Salah pula agak pemalu pada mula­nya, namun, gemar tersengih.

“Sadio Mane adalah seorang yang mesra, sangat berdisiplin dan tidak pernah lewat hadir menjalani ujian. Dia kelihatan pendiam, namun, peramah, manakala Roberto Firmino pula tidak pernah lokek dengan senyuman.

“Klopp sebagaimana yang dilihat dalam media, begitu mesra dengan semua orang di kelab ini tidak kira peringkat. Dia akan terlebih dahulu menyapa. Bagaimanapun, apa yang saya lihat jika menjelang perlawanan besar, dia menjadi lebih serius dan kelihatan begitu komited,” ujarnya yang juga merupakan penyokong Manchester United.

Mengulas lanjut, Aleah berhasrat menabur bakti kepada arena sukan Malaysia apabila pulang ke tanah air, hujung tahun ini.

“Saya merancang menabur bakti serta berkongsi penge­tahuan dan kemahiran dengan agensi sukan di Malaysia, persatuan sukan atau persa­tuan bola sepak supaya polisi perubatan diperkemas dan dipertingkatkan ke suatu tahap yang lebih baik,” jelasnya.

sumber: Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *