, , , , ,

10 Kewajiban Umat Islam Ke Atas Palestin, No 7 Masih Ramai Pandang Remeh

Apa yang boleh kita lakukan untuk bantu Palestin?

Bangsa Palestin tidak pernah berundur dari perjuangan menentang kezaliman rejim Zionis, berusaha membebaskan bumi barakah itu serta Masjid al-Aqsa dari penjajahan. Bahkan ramai di antara mereka ada yang gugur syahid dalam perjuangan tersebut.

Sebagai orang Islam, apakan kewajiban untuk membantu Palestin dan Masjid al-Aqsa?

Prof. Dr. Raghib As-Sirjani dalam bukunya “Filisthîn Wâjibât al-Ummah” menyebut sepuluh kewajiban umat Islam terhadap permasalahan yang menimpa saudara mereka Palestin, yang sampai sekarang tak kunjung berakhir.

Pertama, umat Islam harus kembali secara total kepada Allah. Bila dilihat dari sepanjang perjalanan sejarah umat Islam, Palestin menjadi barometer kekuatan umat Islam. Selama mana umat Islam kuat, maka Palestin akan terjaga dengan baik. Namun ketika lemah, kaum lain dapat merebutnya dengan mudah sekali. Maka, kembali berpegang teguh kepada nilai-nilai yang digariskan Allah secara total adalah kuncinya. Dan itu sudah dibuktikan oleh Umar bin Khattab RA dan Shalahuddin Al-Ayyubi, serta pejuang muslim ternama yang lain.

Kedua, memahami permasalahan sebenar Palestin dari sisi hukum fekah serta perundangan mengenai berbagai hal yang berkaitan dengannya. Jika ia tidak dipahami, para pejuang boleh tersalah langkah dan arah. Mungkin mereka sangkakan sedang berjuang, padahal tersasar jauh dari nilai perjuangan.

Ketiga, ikut bergerak secara aktif. Sekurang-kurangnya bergerak menyampaikan urgensi permasalah Palestin kepada keluarga, masyarakat, negara dan lebih luas lagi jangkauannya.

Keempat, menjaga persatuan dan menghindari perpecahan. Tanpa persatuan dan kesatuan tidak mungkin Palestin akan tegak kembali. Sejarah membuktikan bahawa Palestin dapat direbut oleh kaum bukan Islam kerana keadaan umat Islam bertelagah.

Kelima, benar-benar menghidupkan roh jihad. Umat Islam harus sedar akan nilai ini dengan memanfaatkan waktu sebaik-baiknya, dan tidak menghabiskannya untuk perkara sia-sia. Roh jihad ini harus terus menyala dan digelorakan.

Keenam, jihad dengan harta. Jika jihad dengan jiwa tidak mampu dilakukan, maka umat Islam harus membantu Palestin dengan harta. Jihad dengan harta ini adalah sumbangan besar yang boleh membantu mereka. Betapa pentingnya jihad harta, sehinggakan al-Quran mendahulukannya dari jihad dengan jiwa raga.

Ketujuh, boikot. Memboikot produk-produk Zionis serta negara yang mendukungnya adalah langkah yang sangat srategik untuk membantu rakyat Palestin. Boikot pernah terjadi di zaman Rasulullah SAW sendiri. Sahabat Tsumamah bin Utsal RA pernah melakukannya. Pada tahun ketujuh Hijrah, dia memboikot gandum kepada orang kafir Quraiys akibat perlakuan zalim mereka kepada Rasulullah SAW (dari hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Akibatnya, orang kafir Qurays kesusahan sampai mengirim Abu Sufyan untuk meminta izin kepada Rasulullah SAW agar boikot dihentikan segera, kerana memberi kesan sangat buruk bagi ekonomi mereka.

Kelapan, memupuk harapan. Hal ini sangat penting kerana tanpa ada harapan, mana mungkin Palestin dapat kembali merdeka. Umat Islam harus menanamkan harapan umat dan menghindarkan mereka dari rasa pesimistik dan putus asa.

Kesembilan, menanamkan kesabaran. Kesabaran yang berdasarkan ilmu dan amal nyata. Sabar dalam Islam mengandung kemuliaan, kekuatan, kehormatan dan harapan. Di samping itu, sabar juga sebagai persiapan untuk memperoleh kepemimpinan dan kekuasaan. Tanpa sabar dalam berjuang, mustahil Palestin akan kembali.

Kesepuluh, mengkaji sejarah Palestin. Sejarah adalah cermin umat. Tidak mungkin kita dapat membantu Palestin dengan baik tanpa menguasai sejarahnya. Dari sejarah Palestin, umat Islam akan dapat belajar apa jua faktor kebangkitan dan kejatuhannya.

Umat Islam tentu harus bercermin kepada sejarah. Jangan sampai apa yang dilakukan Kerajaan Sepanyol terhadap umat Islam di Andalusia kembali terjadi. Suatu gerakan genosid yang membuat penduduk Islam musnah. Kalau umat tidak waspada, rejim Zionis akan menerapkan sistem yang sama.

Pengakhiran yang sangat memilukan dirasai oleh umat Islam di Sepanyol ketika itu. Pada 2 Rabiul Awal 897H (2 Februari 1492), Abu Abdullah Muhammad al-Shaghir (Raja Islam terakhir di Andalusia) telah menandatangani perjanjian penyerahan kekuasaan. Peristiwa ini terjadi selepas gugurnya gerakan perjuangan umat Islam yang terjadi di seperempat wilayah Granada yang merupakan benteng terakhir umat Islam di Andalusia.

Abu Abdullah Ash-Shaghir keluar dari Kota Granada, dia berdiri di atas bukit berdekatan istana Hamra – istana pemerintahan Kerajaan di Granada- sambil menangis sedih. Melihat keadaan demikian, Ibunya (Aisyah al-Hurrah) berkata, “Menangislah… menangislah… menangislah… engkau menangis seperti perempuan yang kehilangan, padahal engkau tidak mampu mempertahankan kerajaan selayaknya seorang pahlawan perkasa.” Bukit itu pun diberi nama Puerto del Suspiro del Moro oleh penduduk Sepanyol, yang bermakna Bukit Tangisan Orang Arab Terakhir. Sungguh memilukan!

Bersamaan dengan itu umat Islam keluar dari tempat itu buat selama-lamanya, setelah memimpin Andalusia selama sekitar lapan abad. Negeri yang pernah dipimpin oleh umat Islam selama lapan abad itu kini didiami hanya sekitar seratus ribu orang Islam. Ini adalah pelajaran yang harus diambil dan difahami oleh umat Islam.

sumber: Haluan Palestin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *