, , , ,

Khatib Rebah Meninggal Dunia Ketika Baca Khutbah – Ini Kebaikan Khatib Semasa Hidupnya Yang Buat Ramai Cemburu

Jemaah Masjid Al Bukhary di Alor Setar terkejut apabila imam yang sedang menyampaikan khutbah Jumaat tiba-tiba rebah dan meninggal dunia.

Salam.my – Umat Islam dikejutkan dengan pemergian seorang khatib ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al-Bukhary, Alor Setar.

Seorang khatib, Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim, 68, yang sedang menyampaikan khutbah Solat Jumaat di Masjid Al-Bukhary di sini tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Jemaah yang turut berada ketika kejadian itu merangkap bekas pelajarnya, Hassan Mustafa Afifuddin, 30, ketika dihubungi Bernama berkata, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah itu rebah semasa membaca khutbah awal kira-kira 1.30 tengah hari ini.

“Waktu itu saya dengar sekali khutbah disampaikan ustaz, sebelum ustaz rebah dan jatuh terlentang atas tempat khutbah. Kemudian jemaah lain ambil ustaz dari mimbar dan ada beberapa jemaah yang kerja sebagai doktor memberikan bantuan rawatan awal seperti CPR (bantuan pernafasan) dan cek nadi di leher ustaz, manakala saya pula menghubungi ambulans,” katanya.

Hassan berkata, selepas itu dia pergi mengambil isteri Allahyarham di rumah mereka untuk membawanya ke hospital berkenaan sejurus mendapat panggilan daripada isteri Ku Yaacob.

“Saya pergi ambil ustazah sebab saya dihubungi ustazah. Saya tanya ustazah dapat mana nombor saya, ustazah ambil dalam telefon ustaz yang ketika itu ditinggal di rumah, dan ustazah tergerak hati untuk menelefon saya,” katanya. – Bernama

Khatib Masjid Al-Bukhary di Jalan Langgar di sini, Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim, 68, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat hari ini.

Eksekutif Kanan Masjid Al Bukhary, Abdul Rahman Yaacob, 42, ketika ditemui berkata, Allahyarham tiba-tiba rebah dan kejadian itu dirakamkan oleh beberapa jemaah.

Beliau berkata, jemaah masjid yang merupakan doktor kemudiannya membantu Allahyarham yang pengsan sebelum dibawa dengan ambulans ke hospital.

“Bagaimanapun, Allahyarham yang merupakan Timbalan Pengerusi 1 Masjid Al-Bukhary disahkan telah meninggal dunia.

“Sesungguhnya, kematian Ustaz Ku Yaacob amat dicemburui memandangkan Allahyarham seorang yang sangat baik,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, Allahyarham juga amat komited dalam melaksanakan tugas dan tidak pernah meninggikan suara apabila berbicara.

Menurutnya, hati terasa tenang apabila berdampingan dengan arwah kerana tutur katanya yang lemah lembut, tersusun dan berbudi perketi.

Menurut, Allahyarham yang merupakan bekas guru agama di sebuah sekolah sering memberi tazkirah sebelum solat Zohor pada hari Isnin dan Sabtu, selain membaca khutbah Jumaat.

“Kami Ahli Jawatankuasa dan jemaah Masjid Al-Bukhary sering menjadikan beliau sebagai rujukan ilmu agama,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beliau bersama Allahyarham Ustaz Ku Yaacob turut berbincang mengenai latihan protokol sebelum membaca khutbah apabila Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin akan menunaikan solat Jumaat di masjid itu sebelum Syawal lalu.

Menurutnya, Allahyarham dilihat amat tekun mempelajari protokol itu dan tidak menolak untuk melakukan bacaan khutbah terbabit.

Video khutbah terakhir Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim:

sumber: kosmo, sinarharian, mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *