Salam.my – Perkongsian artikel seorang lelaki cina memeluk Islam ini menjadi tumpuan ramai apabila posting itu menerima lebih 20 ribu likes dan ribuan kongsian. Baca selanjutnya.
KELUHURAN hati sebuah keluarga menghulurkan bantuan tanpa melihat perbezaan bangsa membuka hati Low Seng Teong atau Syukri Low Abdullah, 72, memeluk Islam, kelmarin.
Warga emas itu yang sebelum ini merempat di sebuah pondok menunggu di Flat Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor diselamatkan keluarga Mohd Izham Mohd Hisham Tan, 28, sejak lebih 10 hari lalu.
Mohd Izham yang juga seorang ‘runner’ berkata, pelawaan bapanya menawarkan tempat tinggal sementara di koridor luar rumahnya di flat berkenaan kepada Syukri dianggap sebagai asbab permulaannya berbakti kepada warga emas terbabit.
“Ayah menawarkan ‘uncle’ itu tidur di sofa luar rumah kami kerana rumah kami yang berbilik dua sempit tambahan lagi tidak manis kerana ibu tinggal bersama kami.
“Sepanjang 10 hari dia menetap di luar rumah kami, kami beri dia makan dan keperluan, namun dia tidak pernah sekalipun mengambil kesempatan meminta-minta apatah lagi menyusahkan kami.
“‘Uncle’ ini sudah uzur dan sebatang kara, hanya ada seorang anak angkat pekak dan bisu yang dibelanya sejak kecil,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, dengan bantuan seorang wanita yang baru dikenali, mereka menyewa bilik dengan kos RM260 sebulan di Taman Bukit Dahlia untuk keselesaan dua beranak itu.
“Setiap hari sebelum pergi dan balik kerja, saya akan singgah menghantar makanan dan melihat keperluan diperlukan dua beranak ini.
“Malah kelmarin dengan bantuan wanita ini juga, kami berjaya membawa seorang pegawai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia untuk menunaikan permintaan ‘uncle’ memeluk Islam.
“Luluh hati saya, malah saya kagum dengan kesungguhannya mahu memeluk Islam dalam keadaan serba kekurangan tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak,” katanya.
Mohd Izham berkata, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini selesai, mereka merancang membantu warga emas itu memohon bantuan Baitulmal, menghadiri kelas Fardu Ain dan mendalami Islam.
“Cantik aturan Allah, saya bersyukur kerana Allah menjentik hati saya membantu ‘uncle’ ini pada kali pertama dahulu, semoga memudahkan lagi usaha kami dalam meringankan bebannya sampai akhir usianya,” katanya.
Sementara itu, Syukri berkata, dia bersyukur dipertemukan dengan keluarga pemuda terbabit yang mengubah nasib hidupnya termasuk menjadi seorang saudara baharu.
Katanya, nama Syukri itu dipilih sendiri menggambarkan dirinya yang bersyukur dengan keajaiban berlaku dalam hidupnya.
“Izham dan keluarganya termasuk wanita bernama Su itu sudah saya anggap macam anak sendiri kerana melayan saya dengan baik tanpa membezakan warna kulit.
“Pengislaman saya tiada paksaan, tetapi keprihatinan dan keikhlasan mereka membuatkan saya terharu dan terbuka hati untuk mengenali dan memeluk Islam.
“Saya tekad tak mahu sia-siakan peluang ini untuk mendalami Islam dan jika ada kesempatan, saya mahu menunaikan puasa pertama Ramadan nanti,” katanya.
sumber: Harian Metro