Dulu Ketua Gangster Di Australia, Kini Islam. Mufti Dedah Kisah Beliau Memeluk Islam Buat Ramai Terkejut! | Salam.my – Siapa tidak kenal Vince Focarelli, kisah bekas ketua mafia yang berpengaruh di selatan Australia menjadi tular di media sosial.
Tapi tidak ramai yang tahu kisah di sebalik Vince yang lahir dalam keluarga yang beragama Kristian (Katolik) mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam.
Pada awalnya, Vince yang berbadan sasa ini hanyalah seorang Muslim pada nama dan bukan pada penghayatannya.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Bayan Linnas siri ke-93, hidayah itu timbul apabila Vince selalu meluangkan masa bersama ahli-ahli kumpulannya yang mana sebahagian mereka beragama Islam.
Perbincangan mengenai Nabi Isa (Jesus) menarik minat Vince sehingga apabila diceritakan mengikut kaca mata Islam, dia kemudian mengaitkannya dengan kefahaman agamanya (Kristian) ketika itu.
Banyak persoalan sering menghantui dirinya sehinggalah hidayah itu muncul dan Vince sendiri mengucapkan dua kalimah syahadah.
Imej Vince semasa menjadi ketua gengster. Foto bikersofamerica.blogspot.my
Walaupun Vince telah memeluk Islam, namun dia tetap meneruskan aktiviti bersama kumpulannya.
Kumpulan-kumpulan gengster lain sentiasa mencari ruang untuk menjatuhkan antara satu sama lain dan terdapat enam percubaan untuk membunuh Vince termasuk satu percubaan bunuh menggunakan bom.
Malah, salah satu siri percubaan membunuh itu telah meragut nyawa anak lelakinya, Giovanni.
Vince pernah dipenjarakan dan ditempatkan secara bersendirian dalam sel tahanan, dan satu permintaannya adalah menjadikan al-Quran sebagai teman.
Di sinilah Vince membaca al-Quran dari mula sehingga berjaya mengkhatamkannya walaupun dia sendiri tidak mengetahui isi kandungannya.
Dengan kebesaran Allah, sejurus mengkhatamkan bacaan al-Quran, Vince didatangi seorang warden penjara untuk memberitahu dirinya telah bebas.
Hari itu ternyata bermakna buat Vince yang mengakhiri kehidupannya di sebalik tirai besi selama 14 bulan di atas kesalahan dadah dan senjata api.
Perkara pertama yang dilakukannya apabila dibebaskan dari penjara adalah pergi bersolat di masjid, selain meninggalkan kumpulannya bersama segala aktivit lampau.
Vince memulakan kehidupan baharu dengan membuka sebuah restoran di Australia yang menyediakan makanan halal dan turut memberi sumbangan kepada golongan gelandangan selain melakukan amal jariah lain.
Bagaimanapun, Vince kini menerima perintah diusir keluar dari Australia dan perlu kembali ke negara asalnya di Itali.
Namun ia tidak mematahkan semangatnya dalam berdakwah bagi mengajak manusia lain untuk mengenal Islam.
Kisah perubahan dirinya yang menjadi tular satu masa dahulu banyak dijadikan sebagai motivasi untuk melakukan perubahan dalam kehidupan bahkan membuka mata ramai pihak mengenai bagaimana Islam mampu mengubah kehidupan seseorang.
Vince memilih Abdul Salam sebagai nama Islamnya yang mana Salam itu membawa maksud selamat sejahtera.
Ditanya mengapa memilih nama Abdul Salam, Vince berkata: “Dahulu aku banyak membuat huru-hara, kini aku seorang muslim, hamba Allah SWT. Aku tidak akan membuat huru-hara lagi.”
Cara untuk mendapat hidayah daripada Allah antaranya:
– Sentiasa berdoa agar diberi petunjuk dalam kehidupan, berdoalah dalam keadaan merendah diri dan bersyukur (berterima kasih) pada Allah.
– Bersihkan hati melalui ibadat wajib dan sunat, solat lima waktu dan solat sunat yang lain.
– Berakhlak mulia sesama makhluk iaitu manusia, binatang dan tumbuhan. CONTOH: Tidak menyakiti manusia, binatang dan tumbuhan, jika ingin membunuh binatang dan memotong tumbuhan hendaklah mempunyai tujuan yang jelas.
– Laksana perintah Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
– Menghadiri ceramah ilmu untuk mengutip ilmu yang membawa kepada kemajuan diri dan keinsafan diri.
– Sentiasa berusaha bersangka baik atas perbuatan seseorang.
– Menggunakan akal fikiran untuk mengetahui rahsia dan keEsaan Allah. CONTOH, lihatlah pada alam dan diri kita sendiri, semua itu mempunyai hikmah tersendiri yang mampu mengajar kita mengenal Allah.
Tanda-Tanda Orang Yang Mendapat Hidayah.
Jiwa sentiasa cenderung pada ilmu yang membawa kepada kebahagiaan dunia akhirat.
Sentiasa menjauhi tipu daya dunia.
Sentiasa bersangka baik dengan semua perkara.
Suka memaafkan orang.
Sentiasa mengemaskini persediaan menghadapi kematian.
Sentiasa merenung dan mengingati Allah dalam apa jua keadaan.
Kesan Hidayah Kepada Manusia.
– Sentiasa istiqomah beriman kepada Allah S.W.T tanpa sebarang perasaan ragu-ragu.
– Meningkatkan amalan fardu ain dan fardu kifayah.
– Hati sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan dan benci serta menjauhi perbuatan mungkar.
– Berasa gembira, tenang serta bersyukur (berterima kasih) dalam menjalankan perintah Allah S.W.T.
– Tetap beriman kepada Allah S.W.T walaupun disiksa atau diberi kesenangan supaya meninggalkan Islam.
– Terdorong untuk menyampaikan dakwah atau nasihat kepada seluruh manusia.
Hidayah Milik Allah.
Firman Allah S.W.T Bermaksud: Barang siapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia akan membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barang siapa dikehendaki-Nya menjadi sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakn siksa kepada orang-orang yang tidak beriman. (QS. Al-An’am 6: 125)
Hidayah adalah satu nikmat kurniaan Allah yang amat berharga, hidayah tidak boleh dibeli dengan harta. Gunakanlah cara-cara yang ditulis di atas tadi untuk membantu dalam mendapatkan hidayah daripada Allah S.W.T supaya dapat memberi kesan yang baik dalam kehidupan kita dunia dan akhirat. Semoga bermanfaat.
Wallahu A’lam Bish Shawab.
sumber: mstar.com.my, ismafahreen.blogspot.my, suara media